Kejayaan Polis Perak
Tauke dadah diberkas di Hilir Perak
01 Julai 2010 KHAMIS SinarHarian
TELUK INTAN - Kegiatan pengedaran dadah yang dipercayai terbesar di Daerah Hilir Perak akhirnya tumpas apabila pihak polis berjaya menahan 13 warga Myanmar yang bekerja sebagai nelayan termasuk seorang wanita menjadi dalang kepada kegiatan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, operasi serbuan yang diketuai Inspektor Teoh Teck Khoon daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dibuat ke atas sebuah rumah di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, Bagan Datoh yang dipercayai menjadi pusat pengedaran dadah, di sini, kelmarin.
Menurutnya, ketika serbuan jam 4.30 petang itu, pihak polis mendapati kesemua suspek sedang menonton televisyen di dalam rumah berkenaan.
Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek tergamam melihat kehadiran kami dan kita menemui kira-kira lebih setengah kilogram dadah jenis heroin.
Kita juga percaya kesemua dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan khususnya di Teluk Intan, Bagan Datoh dan Hutan Melintang, katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Menurutnya, serbuan dibuat hasil intipan berdasarkan maklumat yang disalurkan orang awam terhadap kegiatan itu.
Beliau berkata, pemeriksaan polis di dalam rumah menemui sebuah kotak berisi satu plastik yang mempunyai tujuh peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin seberat 555 gram yang dianggarkan bernilai RM12, 000.
Menurutnya, polis turut menemui satu alat penimbang yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam urusan jual-beli dadah.
Beliau berkata, suspek warga asing ditahan itu berusia antara 18 hingga 40 tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Kita juga akan merujuk mereka di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan dan mereka disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, katanya.
.
