Kejayaan Polis Perak
POLIS PERAK BERJAYA MENUMPASKAN AH LONG DENGAN TERTANGKAPNYA DUA LELAKI DAN DUA PEREMPUAN CINA
Jumaat, 09 Julai 2010
IPOH – Pada 05 Julai 2010 sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Perak telah membuat serbuan di sebuah apartment di Tambun, Ipoh dan telah berjaya menangkap seramai dua orang lelaki Cina dan dua orang perempuan Cina berumur antara 20 tahun hingga 25 tahun serta merampas beberapa dokuman dan barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan ‘Ah Long’ seperti berikut:
- 11 buah buku catatan rekod pinjaman wang
- 2 buah fail yang mempunyai senarai nama peminjam wang/ catatan pinjaman
- 74 salinan kad pengenalan peminjam wang
- 12 keping slip deposit wang
- 6 buku bank
- Wang tunai berjumlan RM5,802.00
- 6 buah telefon bimbit
- 800 helai banner pinjaman
Kesemua tangkapan berasal daripada Tangkak, Johor dan tidak mempunyai pekerjaan lain. Kesemua tangkapan telah ditahan reman dengan perintah majistret kerana disyaki turut terlibat dalam kes-kes penipuan ‘Pinjaman yang tidak wujud’ yang berlaku di kontinjen Perak. Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod kesalahan lama.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 2003 yang boleh membawa hukuman tidak kurang daripada RM20,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun. Bagi kesalahan kali kedua boleh juga dikenakan sebatan.
Hasil siasatan awal polis mendapati sindiket ‘Ah Long’ ini mula aktif di kawasan Ipoh sejak bulan Februari tahun 2009. Sindiket ini memberi pinjaman dengan kadar bunga yang sangat tinggi sehingga 120% sebulan, dibandingkan dengan Akta Pemberi Pinjaman Wang yang hanya membenarkan kadar bunga sehingga 12% setahun (Pinjaman wang dengan cagaran) atau 18% setahun (pinjaman wang tanpa cagaran).

